MMM: Tanggungjawab, akauntabiliti, kebebasan media perlu seiring

Lembaga pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan bahawa tanggungjawab, akauntabiliti dan kebebasan media perlu bergerak seiring di bilik berita.

“Kami menegaskan bahawa semua organisasi media perlu bertanggungjawab atas kandungan yang mereka siarkan. Bilik berita harus mempunyai prosedur operasi yang kukuh, sejajar dengan etika kewartawanan dan standard profesional.

“Pematuhan kepada prinsip ini amat penting dalam mengekalkan kepercayaan awam dan integriti profesion kewartawanan,” kata lembaga tersebut dalam satu kenyataan berkaitan kekhilafan Sinar Harian.

Satu infografik terbitan media tersebut mencampur adukkan latar belakang politik Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Akhbar tersebut telah pun meminta maaf dan menggantung tugas kakitangan yang bertugas.

MMM menambah bahawa media perlu bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati, dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan.

Ia turut mengingatkan peri pentingnya nilai-nilai asas kewartawanan diangkat Ketika menjalankan tugas.

“Walaupun MMM masih belum berfungsi secara rasmi, situasi ini mengukuhkan keperluan untuk kita mengangkat nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta, khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara.

“MMM komited untuk mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika.

“Kami percaya bahawa pegangan akauntabiliti yang konstruktif—dan bukan kawalan yang menghukum—merupakan jalan terbaik untuk membina landskap media yang lebih kuat dan dipercayai di Malaysia.”

BACA JUGA: Sinar tersalin profil Johari Abdul untuk KPN baru