‘Sudah 38 tahun bersama PDRM…’

Tidak pernah terbabit dengan mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Itu penegasan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya hari ini.

“Selama 38 tahun saya bersama PDRM, saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana parti politik,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menerima dengan hati terbuka isu kesilapan laporan media yang mengaitkannya dengan parti politik sebelum ini.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka, insya-Allah pihak yang berkenaan sudah memohon untuk bertemu dengan saya dan saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat ini,” katanya, dipetik BH.

Terdahulu, portal berita Sinar Harian menerbitkan infografik mengenai pelantikan Khalid sebagai Ketua Polis Negara baharu dengan tersilap memaparkan tiga jawatan politik dalam PKR dan UMNO.

Kesilapan besar sehingga mengundang salah faham orang ramai itu dipercayai berpunca daripada salinan terus profil Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang diterbitkan pada 19 Disember 2022.

Susulan itu, Sinar Harian pada 22 Jun lalu, memaklumkan bahawa seorang staf di Unit Media Sosial dan penyelia yang meluluskan infografik itu akan digantung tugas buat sementara Waktu sepanjang tempoh siasatan dalaman untuk mengenal pasti jika wujud unsur sabotaj.

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, 60, dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu secara kontrak hingga 22 Jun 2027 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau yang dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak menyertai PDRM pada 5 April 1987 dan memulakan tugas di Cawangan Khas, Bukit Aman.

BACA JUGA Trauma budak di Kota Bharu, ini dialaminya dekat stesen bas lepas Maghrib