Trauma budak di Kota Bharu, ini dialaminya dalam kontena lepas Maghrib

Seorang budak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan telah diliwat dalam sebuah kontena kosong berdekatan Stesen Bas Lembah Sireh di Kota Bharu, Kelantan jam 8 malam, 12 Jun lalu.

Perbuatan jijik itu didakwa dilakukan seorang penganggur yang kemudiannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Che Asmizan Che Jaafar, 34, (gambar atas) turut memohon dibicarakan ketika pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat kanak-kanak itu dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, pemuda berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lima bulan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Dia boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Memetik BH, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Dilaporkan, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan dan hakim meminta tertuduh melantik peguam memandangkan kes berkenaan serius.

Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

BACA JUGA Heboh pemungut hutang serbu pejabat Harakah, rupanya cecah hampir RM2.4 juta