Tarif elektrik baharu: MP Pas jelas menipu rakyat
Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai jelas menipu rakyat berhubung isu pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas menggunakan analogi penggunaan elektrik oleh Pak Ali sebanyak 1,800 kilowatt jam (kWj) dengan jumlah bil dalam RM480.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan cuba untuk membuktikan kononnya tarif baharu elektrik akan meningkat dan membebankan rakyat.
Mengulas dakwaan Ahmad Fadhli itu, Che Ibrahim berkata, menerusi semakan di ChatGPT, jumlah sebenar bil elektrik bagi penggunaan 1,800 kWj adalah RM909.50.
Jelasnya, kiraan itu berdasarkan blok pro-rata iaitu bagi penggunaan 200 kilowatt-jam (kWj) pada kadar 21.8 sen/kWj, caj yang dikenakan ialah RM43.60.
Bagi penggunaan seterusnya sebanyak 100 kWj pada kadar 33.4 sen/kWj, jumlah bayaran ialah RM33.40.
Penggunaan tambahan sebanyak 300 kWj pada kadar 51.6 sen/kWj pula dikenakan bayaran sebanyak RM154.80.
Sebanyak 300 kWj lagi pada kadar 54.6 sen/kWj dikenakan caj sebanyak RM163.80 manakala penggunaan 900 kWj pada kadar 57.1 sen/kWj menjadikan jumlah bayaran sebanyak RM513.90.
“Jumlah caj bagi 1,800 kWj ialah RM909.50 tidak termasuk cukai perkhidmatan, Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB), dan surcaj lewat bayar,” katanya.
Sementara itu, semakan turut mendapati, contoh penggunaan elektrik sebanyak 1,800 kWj dengan mencecah bil hampir RM1,000 sebulan itu adalah tidak logik melainkan jika kediaman bersaiz besar dan memiliki banyak alat elektrik berkuasa tinggi yang digunakan hampir setiap hari.
Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.
Menurut ST, tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Suruhanjaya itu memaklumkan perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Pelarasan kadar purata tarif asas ditentukan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4, dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, menjadikan purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding tempoh RP3.
BACA JUGA Tujuh kenyataan ‘sakit’ Presiden Pas terhadap Kerajaan MADANI