Harga barang terkawal, negara rekod inflasi paling rendah dalam 51 bulan

Malaysia mencatatkan kadar inflasi terendah pada Mei lalu sebanyak 1.2 peratus, terendah dalam tempoh 51 bulan sejak 2020.

Menurut Indeks Harga Pengguna dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), negara merekodkan peningkatan mata indeks 134.4 berbanding 132.8 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan kadar inflasi ini konsisten dengan trend global yang turut mencatatkan peningkatan perlahan, selaras dengan penyusutan harga minyak dunia.

Negara seperti Eurozone dan Korea Selatan masing-masing merekodkan inflasi 1.9 peratus, Indonesia (1.6 peratus) dan Filipina (1.3 peratus).

“Selaras penurunan harga minyak dunia, ia turut ditunjukkan melalui Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang mencatatkan penurunan 3.4% pada April.

“Sektor perlombongan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu negatif 17.8% (Mac 2025: -15.0%), ini disebabkan penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8%).

“Kumpulan makanan dan minuman, yang menyumbang hampir satu pertiga daripada wajaran IHP, hanya meningkat 2.1 peratus pada Mei, perlahan berbanding April (2.3 peratus),” katanya.

Inflasi untuk subkumpulan makanan di rumah kekal sifar, menunjukkan harga barangan asas terkawal.

Penurunan ketara berlaku pada sayur-sayuran (-5.5 peratus), susu & produk tenusu (-1.9 peratus) dan daging (-0.3 peratus).

Bagaimanapun, makanan di luar rumah terus meningkat sedikit kepada 4.4 peratus, mencerminkan peningkatan kos bahan mentah dan perkhidmatan di sektor F&B.

BACA JUGA Patutlah lama tak nampak minyak masak paket, 720kg disorok dalam rumah sewa