Patutlah lama tak nampak minyak masak paket, 720kg disorok dalam rumah sewa

Misteri ‘kehilangan’ minyak masak paket di pasaran akhirnya terbongkar apabila 720 kilogram barangan bersubsidi itu didapati disorok di sebuah rumah sewa dekat Teluk Kurin, Buntong, Ipoh.

Ia terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan hasil risikan rapi selama seminggu yang mendapati premis berkenaan dijadikan sebagai stor simpanan barangan kawalan tanpa kelulusan sah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun yang disyaki penyewa rumah telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah untuk menyimpan minyak masak peket yang merupakan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minyak masak bersubsidi itu bersama beberapa dokumen perniagaan telah disita, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1,800.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kamalludin turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap barangan kawalan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil,” katanya.

BACA JUGA MATA minta pemain industri bersedia, bimbang konflik Timur Tengah jejas pelancongan