Henti serang Iran dan Palestin syarat damai dengan Israel

Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat bahawa rejim Zionis Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.

Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga fasiliti nuklear utama Iran di Isfahan, Natanz dan Fordow.

Perdana Menteri berkata, Pezeshkian turut memohon jasa baik beliau untuk menyampaikan pendirian Iran kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas republik tersebut.

“Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut—tidak hanya rakyat biasa—tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.

Masoud Pezeshkian

“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar sejak tercetusnya konflik Iran-Israel.

“Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.

“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk AS dan Israel jika syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.

“Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,” tambah Anwar lagi.

BACA JUGA Tidak boleh lepas tangan, pengurusan media mesti perkukuh proses semak fakta