Tidak boleh lepas tangan, pengurusan media mesti perkukuh proses semak fakta
Pihak pengurusan media mesti memperkukuhkan proses semak fakta (fact-checking), susulan isu kesilapan profil Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Tuduhan melulu terhadap penjawat awam terutama polis, dianggap sebagai tindakan tidak beretika,tegas Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata ia juga boleh menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang negara.
Menurutnya, walaupun Kerajaan MADANI menghormati kebebasan media, tanpa disiplin, ia akan menjauhkan rakyat daripada kebenaran.
Sehubungan itu, jelasnya, pihak pengurusan media perlu bertanggungjawab dan tidak lepas tangan dengan kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
“Merujuk kepada grafik sebuah portal berita terkemuka yang tular dan seolah-olah mengaitkan KPN dengan aktiviti kepartian politik, adalah contoh jelas bagaimana kekhilafan penyunting boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam.
“Ingin ditegaskan bahawa pengurusan media tidak boleh lepas tangan dan proses semak fakta mesti diperkukuh supaya kepercayaan rakyat tidak terhakis.
“Ini kerana tuduhan melulu terhadap penjawat awam, khususnya pasukan polis, adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam Taklimat Media oleh PMO, hari ini.
Terdahulu, portal berita Sinar Harian menerbitkan infografik mengenai pelantikan Khalid sebagai Ketua Polis Negara baharu dengan tersilap memaparkan tiga jawatan politik dalam PKR dan UMNO.
Kesilapan sehingga mengundang salah faham orang ramai itu dipercayai berpunca daripada salinan terus profil Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang diterbitkan pada 19 Disember 2022.
Susulan itu, Sinar Harian pada 22 Jun lalu, memaklumkan bahawa seorang staf di Unit Media Sosial dan penyelia yang meluluskan infografik itu akan digantung tugas buat sementara Waktu sepanjang tempoh siasatan dalaman untuk mengenal pasti jika wujud unsur sabotaj.
BACA JUGA Hadapi 13 pertuduhan amang seksual fizikal pelajar, bekas pengetua dipenjara 15 tahun