Krisis Asia Barat: Anwar hargai keikhlasan Qatar
Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ketegasan dan keikhlasan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dalam mendukung usaha perdamaian susulan krisis di Asia Barat.
Ia termasuk, jelas Perdana Menteri, peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.
“Saya merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS).
“Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat.

“Sheikh Tamim memaklumkan bahawa meskipun Qatar berada dalam kedudukan sukar tatkala turut terheret dalam konflik ini, beliau memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Lagi berkongsikan perbualan telefon dengan Sheikh Tamim petang tadi, Anwar berkata, Emir Qatar berkenaan turut memaklumkan telah berhubung dengan Presiden AS, Donald Trump dan berbicara mengenai usaha damai di Asia Barat.
“Beliau (Sheikh Tamim) menggunakan kesempatan itu untuk menggesa AS menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan.
“Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia,” tegas Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Henti serang Iran dan Palestin syarat damai dengan Israel