MATA minta pemain industri bersedia, bimbang konflik Timur Tengah jejas pelancongan
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memandang serius perkembangan semasa di Timur Tengah yang dilihat boleh memberi kesan besar kepada industri pelancongan negara sekiranya konflik berlanjutan.
Presiden MATA, Datuk Seri Mohd Khalid Harun berkata, antara impak yang dijangka ialah kenaikan kos minyak dunia yang boleh menyebabkan kenaikan harga tiket penerbangan dan kos pengendalian pelancongan.
Selain itu, berkemungkinan akan berlaku peningkatan pembatalan pakej pelancongan ke rantau tersebut disebabkan faktor keselamatan dan ketidaktentuan pasaran.
“Sehubungan itu, MATA mengingatkan semua pemain industri agar lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menyemak semula pelan pemasaran dan penyesuaian harga pakej,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, MATA ingin mengetahui dengan lebih jelas apakah pelan dan langkah kontingensi yang sedang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sekiranya konflik ini berlanjutan dan memberi kesan jangka panjang kepada aliran pelancong masuk dan keluar negara.
MATA turut menyarankan agar ahli-ahli serta penggiat industri mempertimbangkan peralihan tumpuan pasaran ke negara-negara ASEAN dan Asia yang lebih stabil buat masa ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Timur Tengah yang kini terjejas.
“Keanjalan dan daya tahan industri pelancongan Malaysia amat penting dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
“MATA akan terus bekerjasama rapat dengan MOTAC dan agensi-agensi berkaitan demi memastikan kelangsungan dan daya saing industri pelancongan negara,” ujarnya.
BACA JUGA Langgar pelbagai syarat himpunan, polis siasat peserta Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0