Trump umum gencatan senjata antara Israel dan Iran

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya, sekaligus bakal menamatkan perang 12 hari.

Trump turut mencadangkan kedua-dua pihak diberi sedikit masa untuk menyelesaikan misi yang sedang dijalankan sebelum gencatan senjata dimulakan secara berperingkat.

“Israel dan Iran telah bersetuju sepenuhnya untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh (dalam tempoh kira-kira enam jam dari sekarang, setelah kedua-dua pihak menamatkan misi akhir mereka yang sedang berlangsung) selama 12 jam, dan selepas itu, perang akan dianggap yamat!

“Secara rasmi, Iran akan memulakan gencatan senjata, dan selepas 12 jam, Israel pula akan memulakan gencatan senjata, dan sejurus memasuki jam ke-24, tamatnya perang 12 hari akan diraikan oleh seluruh dunia,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya, menurut Bernama.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat hanya beberapa minit selepas kedua-dua pihak saling mengancam untuk melancarkan serangan baharu.

Menerusi laporan CNN, Iran belum menerima sebarang cadangan gencatan senjata dan tidak melihat keperluan untuk itu, memetik seorang pegawai kanan Iran.

BACA JUGA MATA minta pemain industri bersedia, bimbang konflik Timur Tengah jejas pelancongan