Kadar elektrik Thailand, Singapura jauh lebih tinggi, Malaysia kekal mampu milik

OLEH A. ZAHID

Di saat ramai rakyat di rantau ini berdepan kenaikan mendadak kos elektrik, Malaysia tampil berbeza.

Bermula 1 Julai 2025, kadar asas tarif elektrik Malaysia secara purata diturunkan dari 45.62 sen/kWh kepada 45.40 sen/kWh, langkah strategik yang menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan pengguna dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui tarif yang kompetitif dan adil.

Langkah ini bukan sekadar penurunan angka semata-mata. Ia satu bentuk kelegaan nyata buat isi rumah, peniaga kecil dan pengusaha industri yang sebelum ini terkesan dengan inflasi global serta ketidaktentuan harga bahan api.

Berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura, Malaysia kini boleh berbangga kerana mempunyai antara kadar elektrik antara termurah di Asia Tenggara.

Mari kita lihat perbandingannya.

Di Thailand, kadar elektrik isi rumah kini mencecah THB 4.15–4.29/kWh bersamaan RM0.51–RM0.55/kWh.

Manakala di Singapura, kadar standard SP Group adalah sekitar SGD 0.3065/kWh bersamaan RM1.05/kWh.

Bahkan, dengan peruncit bebas pun, kadar di Singapura masih sekitar SGD 0.2005/kWh bersamaan RM0.69/kWh. Bezanya sangat ketara.

Ini bukan berlaku secara kebetulan. Penstrukturan semula tarif oleh Suruhanjaya Tenaga melalui mekanisme pengawalseliaan berasaskan insentif (IBR) dan pelaksanaan semula rebat seperti AFA (Pelarasan Automatik Bahan Api) membolehkan penetapan harga yang lebih anjal dan responsif.

Bahkan bagi pengguna yang menggunakan kurang daripada 600 kWh sebulan, caj runcit RM10 turut dikecualikan.

Lebih penting, kerajaan tidak hanya meringankan beban isi rumah.
Pelbagai inisiatif turut diperkenalkan bagi membantu golongan peniaga, usahawan kecil dan sektor industri.

Antaranya ialah Skim Masa Guna (Time-of-Use, ToU) yang membolehkan peniaga menjimatkan bil dengan menjadualkan operasi semasa waktu luar puncak.

Dengan tarif off-peak serendah 24.43 sen/kWh, ini satu peluang besar bagi pengusaha yang bijak mengatur penggunaan tenaga.

Tambahan pula, kerajaan turut memperkenalkan rebat kecekapan tenaga dan bantuan khas kepada golongan miskin tegar melalui pemberian RM40 sebulan bagi isi rumah e-Kasih.

Ini membuktikan bahawa strategi tenaga negara bukan hanya berpaksikan keuntungan, tetapi didasari prinsip keadilan sosial dan kemampanan.

Dalam landskap ekonomi global yang mencabar, Malaysia mempamerkan bahawa dasar berani dan berpandangan jauh mampu membawa impak sebenar kepada rakyat.

Ini bukan janji politik kosong, tetapi hasil kerja teknokrat dan dasar yang berani menstruktur semula sistem tarif yang selama ini dilihat kompleks dan membebankan.

Justeru, langkah menurunkan tarif elektrik di bawah Kerajaan MADANI bukan sahaja patut disambut, tetapi dijadikan bukti bahawa Malaysia mampu menjadi model bagi pengurusan tenaga yang adil, mampan dan mesra rakyat.

Ketika negara lain menaikkan harga atas alasan kos bahan api global, Malaysia menunjukkan bahawa dasar yang tepat dan iltizam politik yang kukuh.

BACA JUGA Terkini pengerusi NGO disyaki suspek utama seleweng dana RM26 juta untuk kegunaan peribadi