Terkini pengerusi NGO disyaki suspek utama seleweng dana RM26 juta untuk kegunaan peribadi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa wang yang disumbangkan orang ramai kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah dibelanjakan untuk kegunaan peribadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati dana berjumlah RM26 juta telah dipindahkan dari akaun rasmi NGO terbabit ke akaun pengerusi NGO berkenaan, dipercayai untuk tujuan pembelian bangunan dan tanah
SPRM juga telah mengenal pasti pengerusi NGO itu sebagai suspek utama kes penyelewengan dana awam.
“Hasil siasatan mendapati sejumlah wang dipindahkan daripada akaun NGO berkenaan kepada akaun suspek utama iaitu pengerusi pertubuhan terbabit.
“Kita kesan suspek membelanjakan dana untuk diri sendiri termasuk membeli harta seperti tanah dan bangunan.
“Wang itu datangnya daripada orang ramai yang menyumbang kepada NGO berkenaan bagi tujuan membantu orang lain termasuk masyarakat Syria,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Azam berkata lima individu termasuk pengerusi dan pengurus kewangan NGO berkenaaan yang sebelum ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan, telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan semua transaksi dan harta diperoleh menggunakan dana tersebut,” katanya
Azam berkata NGO itu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dikategorikan sebagai badan awam dalam konteks undang-undang SPRM.
“Justeru, sebarang penyalahgunaan kuasa oleh individu memegang jawatan dalam organisasi itu boleh disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
BACA JUGA Kisah pesakit dari neraka, ramai menari di atas air mata doktor