Kisah pesakit dari neraka, ramai menari di atas air mata doktor

Oleh DR MD AZHARI MD ZHAHIR

Malam itu langit tak menangis.
Tapi aku… dah lama.

Jam hampir 10.45 malam.
Bilik rawatan tinggal satu cahaya,
aku baru nak tutup sistem,
bila pintu kaca tu terbuka kasar.

Seorang ibu, dengan anak kecil demam didukung.
“Doktor takkan dah nak tutup?! Anak saya ni panas tahu?!”

Aku diam.
Letak balik beg yang dah aku pegang sejak sejam tadi. Kaki dah longgar. Kepala berat.
Tapi aku pakai glove semula, senyum semula, dan buka semula hati yang dah hampir tertutup.

Aku periksa perlahan.
Tonsil merah. Suhu tinggi.
Aku terangkan rawatan. Bagi ubat. Siap tulis label satu-satu dengan tangan sendiri.

Tapi sejurus staf aku serah ubat, dia tembak aku:

“Kenapa ubat mahal sangat? Farmasi jual RM10 je!”
“Doktor ni tak ada hati ke? Anak saya tengah sakit!”

Waktu tu aku nak cakap:
Aku ada hati. Tapi hati aku dah banyak luka.

Aku nak cakap:
Bukan semua yang berkot putih hidup senang.
Sebahagian dari kami… berperang dalam diam.

Tapi aku tahu dia tak nak dengar.
Sebab manusia sekarang, lebih suka menghukum, dari memahami.

Dia keluar tanpa ucap terima kasih.
Dan aku, duduk semula di kerusi
Dalam klinik yang sekarang terasa terlalu sunyi.

Aku tengok ubat-ubat di rak.
Semua itu aku beli guna duit sendiri.
Aku tengok bil elektrik.
Printer. Sistem EMR. Tong sharps. Sticker label. Sewa. Gaji staf.

Semua itu tidak ada diskaun. Tapi kami, bagi diskaun hari-hari.

Penat jadi baik

Malam itu rasa sangat sedih.
Tapi bukan sebab dia marah aku.
Aku sedih sebab aku penat jadi baik, dalam dunia yang tak tahu berterima kasih.

Esoknya, aku nampak post viral.
Ada nama klinik aku. Ada nama aku.
Ada kata-kata keji daripada manusia yang tak kenal pun siapa aku.

Dan di ruangan komen, ramai yang menari atas air mata aku.

Kecam tu senang, ‘kan?
Tulis satu ayat, tekan send, tunggu like.

Tapi cuba duduk 12 jam sehari dalam klinik, tanpa cuti, tanpa MC.

Cuba jawab 20 mesej WhatsApp di tengah malam. Cuba senyum pada orang yang marah sebab harga ubat RM15.

Cuba rasa, dulu doktor itu pernah bahagia sebelum dia hilang percaya.

Kepada pesakit dari neraka,
Kalau satu hari nanti kau rasa nak tulis sesuatu,
atau kau rasa nak marah pada doktor…

Cuba tahan sekejap. Cuba fikir sejenak.

Sebab kau mungkin cuma hilang duit RM30,
tapi doktor tu mungkin… hilang seluruh percaya pada manusia.

Rupanya,

Tak cukup dengan viral fitnah tu…
Minggu seterusnya, aku dapat panggilan dari pejabat Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

Nada suara mereka tegas. Formal.

“Kami terima satu aduan berkaitan perkhidmatan di klinik doktor yang menjual ubat dengan harga mahal”.

“Kami mohon doktor beri penjelasan bertulis dalam masa 7 hari.”

Aku terkedu.

Aduan?
Aduan dari siapa?

Aku dah tahu jawapannya.
Tapi aku tak sangka sampai ke tahap ini.
Harga mahal RM2 dari farmasi, tak ‘kan tu pun nak buat aduan?

Malam itu aku duduk depan laptop.
Cuba tulis surat penjelasan.

Tapi jari aku beku.
Minda aku kosong.
Sedih, walau air mata tak turun… tapi dada aku sesak.

Aku terfikir, kenapa aku tak kerja kembali di hospital kerajaan?

Sekurang-kurangnya di sana, ada sistem yang lindung. Di sini? Klinik aku sendiri…

Aku imbas balik waktu awal aku buka klinik.
Aku potong reben dengan tangan sendiri.
Isteri aku tersenyum, anak-anak aku lari keliling.

Aku rasa bangga.

Tapi sekarang…
klinik ini rasa macam kandang.
Dan aku binatang korban dalam kandang itu sendiri.

Suasana di sebuah klinik kerajaan di Selangor. (Gambar hiasan)

Fitnah yang sebar itu percuma.
Tapi bayarannya aku tanggung.

Reputasi klinik jatuh.
Pesakit jadi ragu.
Staf tengok aku pun macam pelik.

Dan aku?

Aku masih kena senyum setiap pagi,
walaupun hati aku koyak macam permaidani yang dah terlalu lama dipijak.

Kalau kau rasa cerita ini baru nak habis,
Kau silap. Cerita ni baru nak bermula.

Deja vu

Hari itu,
9.47 malam.

Aku baru nak tutup lampu. Klinik dah sunyi.

Hari ni pun sepi. Lepas cerita viral, pesakit makin kurang. Yang ada pun, tanya harga ubat dan terus keluar senyap.

Aku tarik nafas panjang.
Duduk di kerusi yang dah mula rasa keras macam lantai batu. Baru nak tarik pintu grill
bunyi ketukan kuat.

Deja vu.

Aku buka.
Dan aku terdiam.

Dia.
Wanita yang pernah fitnah aku, tulis status panjang di Facebook, dan buat aduan rasmi ke CKAPS.
Tapi wajah dia tak nampak bersalah. Tak ada malu.

Tapi kali ni, dia datang sambil dukung anak kecil.
Anak tu nafas laju, pipi pucat, mata layu.

“Anak saya sesak nafas. Dah pergi dua klinik. Semua tutup. Saya tahu klinik doktor ni tak ramai sekarang… Jadi, bolehlah rawat anak saya cepat.”

Aku masih diam.
Dalam hati aku remuk.
Tapi aku tengok anak dia dan aku tahu, tak boleh biar dia terus sesak.

Aku buka pintu.

“Masuk.”

Aku jalankan rawatan.
Nebulizer. Suction. Oxygen.
Monitor O2 sat.
Tengok response.

Masa anak dia mula tidur dengan tenang aku rasa lega. Tapi waktu aku kemas semula alat, dia bersuara.

“Saya tahu doktor mungkin simpan dalam hati, tapi… ini ‘kan memang tanggungjawab doktor.”

“Saya tak minta maaf pun. Saya tak menyesal.

“Kalau doktor betul-betul profesional, doktor patut tahan benda macam ni.”

Waktu tu, aku tak marah.
Tak balas.
Sebab aku tahu kalau aku jawab, aku akan jatuh ke tempat yang sama dengan dia.

Dia keluar dari klinik macam tak ada apa berlaku.
Tak ucap terima kasih. Tak pandang belakang.
Dan aku… aku duduk semula di kerusi lama tu.

Aku boleh saja tolak dia.
Aku boleh kata, “Maaf, saya dah tutup.”
Tapi kalau aku buat macam tu… aku tahu aku takkan boleh tengok muka aku sendiri dalam cermin.

Aku tetap pilih untuk jadi manusia.

Walaupun manusia lain pilih untuk jadi tuhan yang suka menghukum, tanpa sedar mereka cuma tetamu sementara dalam dunia yang Tuhan punya.

Kekadang aku terfikir. Kenapalah wujud manusia perangai macam ni…

[Berdasarkan pengalaman Dr Zakwan]

DR MD AZHARI MD ZHAHIR
MD (UKM), OHD, CMIA, MRO
Cert. In Dermatology (AFPM)
Dip. In Dermatology (IOD, Bangkok)

BACA JUGA Di sebalik aksi bakar karikatur PM