Presiden Iran umum tamatkan ‘Perang 12 hari’

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengumumkan “tamatnya Perang 12 hari” yang dipaksakan oleh Israel, dalam satu perutusan kepada rakyatnya, lapor AFP memetik agensi berita rasmi Islamic Republic News Agency (IRNA).

“Hari ini (semalam), selepas penentangan hebat ditunjukkan rakyat kita, dan keazaman tinggi membina sejarah, kita menyaksikan gencatan senjata dan penamatan perang 12 hari yang dipaksakan oleh tindakan melulu dan provokasi Israel,” kata Pezeshkian dalam perutusannya.

Masoud Pezeshkian

Pezeshkian juga menegaskan bahawa kemenangan Iran dalam menghadapi ancaman serantau adalah hasil daripada keteguhan rakyat.

Dalam masa sama, pakar bedah jantung sebelum terjun ke dalam politik itu menyatakan komitmen berterusan terhadap keamanan walaupun berdepan tindakan agresif Zionis Israel dan pelanggaran janji oleh kuasa asing.

“Segala kejayaan kami datang daripada tekad rakyat Iran.

“Mereka adalah benteng utama negara ini dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan,” kata Pezeshkian.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas rundingan telefon dengan beberapa pemimpin serantau.

Lapor Arab News, dalam perbualan bersama Sultan Oman, Haitham bin Tariq, kedua-dua pemimpin membincangkan keperluan mendesak untuk mencegah ketegangan yang boleh mencetuskan konflik berskala besar.

Sementara itu, IRNA berkongsikan gambar rakyat Iran yang bersorak gembira tetapi tetap berwaspada apabila musuh terpaksa berundur.

Sepanjang Perang 12 Hari, Kementerian Kesihatan Iran merekodkan kira-kira 610 kematian manakala 4,700 orang cedera.

BACA JUGA Yadim, badan kerajaan pertama henti langgan Sinar Harian