Yadim, badan kerajaan pertama henti langgan Sinar Harian
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) menjadi badan kerajaan pertama yang berhenti melanggan Sinar Harian.
Perkara ini susulan beberapa kesilapan yang dibuat oleh syarikat akhbar tersebut.
Terbaharu, Sinar mencampur adukkan latar belakang Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dengan Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam satu infografik.
Pemberhentian langganan Sinar Harian telah diumumkan sendiri oleh ketua pegawai eksekutif Yadim Zamri Zainal Abidin menerusi hantaran Facebooknya.
“Di pejabat Yadim seluruh negara arahan telah saya keluarkan untuk tidak melanggan Sinar Harian sebagai bahan bacaan pejabat mulai hari ini, sehinggalah saya berpuas hati dengan ‘keinsafan’ pihak Pengarang.”
Zamri berkata demikian sebagai respon kepada laporan bahawa Sinar Harian telah menggantung tugas kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan infografik tersebut.
Akhbar tersebut juga telah memohon maaf kepada Khalid dan sedang disiasat oleh polis ekoran beberapa laporan polis yang dibuat.
BACA JUGA: Sinar tersalin profil Johari Abdul untuk KPN baru