‘Spin’ luar konteks apanya? – Syahredzan tempelak menantu Hadi cuba berdalih

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, hari ini mengecam tindakan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, yang cuba berdolak berdalih selepas membuat hantaran kontroversi di sosial media.

Zaharudin, yang juga menantu kepada Presiden Pas, sebelum ini memuat naik hantaran spekulatif tentang senario masa depan negara, lengkap dengan gambar Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng, yang merupakan pegawai Cina pertama memegang jawatan itu.

Dia mendakwa gambar tersebut hanya digunakan sebagai “hiasan” dan menganggap kenyataannya telah diambil di luar konteks.

Namun, Syahredzan menyifatkan penjelasan itu sebagai “alasan bacul” yang cuba lari daripada tanggungjawab sebenar.

“Luar konteks apanya? ‘Spin’ apa pula? Jelas Ustaz Zaharudin telah menggunakan gambar berita Johnny Lim Eng Seng walaupun mendakwa gambar itu ‘sekadar hiasan’ dan ‘tiada kaitan’.

“Jika tiada kaitan, tiada sebab mengapa perlu dipamerkan gambar tersebut. Terang lagi bersuluh bahawa gambar tersebut, yang disertakan dengan hantaran suatu senario ‘masa hadapan’, sengaja membawa polemik perkauman,” kata Syahredzan.

Beliau menegaskan bahawa tindakan Zaharudin bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan individu berkenaan yang telah menunjukkan khidmat cemerlang kepada negara.

“Daripada mengambil tindakan bacul dengan mendakwa bahawa ianya diambil di luar konteks dan diputarbelit, Ustaz Zaharudin sepatutnya mengakui kesalahannya dan memohon maaf kepada seluruh Angkatan Tentara Malaysia dan Datuk Johnny sendiri,” katanya.

Syahredzan turut menyifatkan kenyataan itu sebagai bukti bahawa Pas dan Perikatan Nasional masih mengamalkan politik perpecahan dan identiti perkauman.

“Kenyataan Ustaz Zaharudin sebenarnya membuktikan bahawa Pas dan PN masih membawa politik perpecahan dan perkauman, dan mesti ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang mencintai keharmonian dan perpaduan,” ujarnya.

BACA JUGA Kenyataan perkauman menantu Hadi dikecam, tidak boleh terima hakikat kita berbilang bangsa