SST naik, semua harga pun melonjak?
Kementerian Kewangan (MOF) mengalu-alukan orang ramai untuk mengajukan soalan berkenaan pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 Julai ini.
Menerusi platform X, MOF memberitahu soalan-soalan tersebut akan dijawab secara langsung menerusi siaran langsung TikTok pukul 8.30 malam esok.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican bakal menjawab soalan yang dikemukakan.

Pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST.
Dalam masa sama, beliau berkata, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Berkuatkuasa 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan.
Sementara itu, bagi perkhidmatan kerja pembinaan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 6.0 peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM1.5 juta.
Cukai perkhidmatan pula akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisyen.
BACA JUGA Terkini pengerusi NGO disyaki suspek utama seleweng dana RM26 juta untuk kegunaan peribadi