Akhirnya terbongkar, senarai syarikat lori & bas bertimbun saman, didedah Menteri Pengangkutan
OLEH: A ZAHID
Untuk sekian lama, industri pengangkutan berat dan bas ekspres seakan menikmati imuniti tidak rasmi, melanggar undang-undang tanpa rasa gentar, seolah-olah nyawa pengguna jalan raya boleh dipertaruhkan demi keuntungan maksimum.
Namun, landskap itu berubah baru-baru ini apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tampil dengan tindakan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pentadbiran sebelum ini:- mengumumkan secara terbuka senarai syarikat pengangkutan yang mempunyai longgokan saman tertunggak.
Inilah wajah baru ketegasan dalam era Kerajaan MADANI. Tidak lagi bermain kata, tidak lagi berselindung di sebalik retorik, hanya tindakan konkrit dan mesej jelas bahawa nyawa rakyat lebih utama daripada kepentingan kapital.
Menerusi pengumuman rasmi oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), senarai syarikat yang mencatatkan rekod saman tertunggak tertinggi dalam kategori lori dan bas ekspres telah didedahkan kepada umum.
Bayangkan 11 syarikat lori dengan lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 syarikat bas ekspres dengan lebih 200 saman.
Apa yang lebih menggerunkan ialah kesalahan mereka bukan kecil, daripada tayar rosak, lesen tamat tempoh, lebih muatan hingga memandu laju dan guna telefon bimbit ketika memandu. Semua ini bukan sekadar pelanggaran teknikal, ia adalah potensi tragedi menunggu masa.
Senarai Syarikat Lori Paling Banyak Saman Aktif (2025)
- KDEB Waste Management Sdn. Bhd. – 22,017 saman
- Mainiza Mantap Sdn. Bhd. – 5,108 saman
- Advancecon Machinery Sdn. Bhd. – 3,620 saman
- VK Transport Sdn. Bhd. – 3,016 saman
- Ng Swee Aik Trading Sdn. Bhd. – 2,352 saman
- Boon Chin Transport Sdn. Bhd. – 2,339 saman
- Nation Dimensions Sdn. Bhd. – 2,226 saman
- Syarikat Ehsan Enterprise Sdn. Bhd. – 2,168 saman
- NEK Gurun Logistics Sdn. Bhd. – 1,062 saman
- Macro Dimension Concrete Sdn. Bhd. – 1,014 saman
- SL Transport & Trading Sdn. Bhd. – 1,006 saman
Senarai Syarikat Bas Ekspres Paling Banyak Saman Aktif (2025)
- Cepat Ekspres Sdn. Bhd. – 540 saman
- New Hoover Express & Travels Sdn. Bhd. – 512 saman
- Kuala Lumpur-Alor Star Express Sdn. Bhd. – 477 saman
- Express Senibudaya (M) Sdn. Bhd. – 390 saman
- Suasana Edaran Sdn. Bhd. – 370 saman
- Kurnia Bistari Sdn. Bhd. – 351 saman
- Bandar Express Services Sdn. Bhd. – 300 saman
- Zenwan (M) Sdn. Bhd. – 300 saman
- Gunung Raya Ekspres Sdn. Bhd. – 288 saman
- Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn. Bhd. – 272 saman
- GJG Travel & Tours Sdn. Bhd. – 265 saman
- Sri Theven Travel Sdn. Bhd. – 232 saman
- Dyana Express Sdn. Bhd. – 230 saman
- Goldstar Express (M) Sdn. Bhd. – 218 saman
- Plusliner Sdn. Bhd. – 208 saman
- Kuala Yakin Sdn. Bhd. – 206 saman
- Cosmic Angle Travel and Tours Sdn. Bhd. – 203 saman
Buat pertama kali, kerajaan menunjukkan bahawa pendekatan ‘mesra industri’ tidak bermakna tunduk pada kelonggaran undang-undang.
Loke berani menggegarkan ‘status quo’ dengan pendedahan ini. Tidak cukup dengan memberi notis 14 hari untuk jelaskan saman, MOT turut memberi amaran bahawa kegagalan akan mengakibatkan penyenaraian hitam serta-merta terhadap kenderaan-kenderaan terlibat.
Langkah ini mungkin keras bagi sesetengah pihak industri, tetapi realitinya inilah yang dituntut oleh rakyat, ketegasan, kebertanggungjawaban dan keberanian politik.
Selama ini, terlalu banyak insiden melibatkan bas ekspres yang terbalik di lebuh raya atau lori yang hilang kawalan hingga meragut nyawa.
Bila tragedi berlaku, barulah semua pihak menuding jari. Kali ini, kerajaan bertindak sebelum tragedi berulang.
Inisiatif ini juga menjadi simbol perubahan struktur dalam bagaimana penguatkuasaan dilihat. Ia bukan lagi tentang kutipan saman sebagai hasil, tetapi tentang keselamatan sebagai prinsip utama.
MOT menghantar mesej kepada semua pengendali, anda boleh berniaga, tetapi jangan sesekali bermain dengan nyawa pengguna jalan raya.
Ini bukan sekadar pengumuman media. Ia adalah titik perubahan budaya pematuhan dalam sektor pengangkutan negara.
Dan kita perlu akui bahawa tindakan ini hanya boleh terjadi bila ada keberanian politik di barisan hadapan.
BACA JUGA: Pembebasan Syed Saddiq: Jabatan Peguam Negara fail notis rayuan