Aminolhuda kecam politik perkauman Pas, pertahan lantikan Johnny Lim

AMANAH Negeri Johor mengecam tindakan segelintir pemimpin Pas yang yang didakwa terus menanam benih kebencian dalam kalangan orang Melayu dengan menunggang isu-isu perkauman.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, beliau menyokong penuh pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, pelantikan Johnny Lim yang merupakan rakyat Malaysia berketurunan Cina pertama menjawat jawatan setinggi itu adalah bukti sistem pertahanan negara terbuka dan menilai berdasarkan merit.

“Namun begitu, malangnya terdapat segelintir pemimpin Pas yang masih berterusan menanam benih kebencian dalam kalangan orang Melayu dengan menunggang isu-isu perkauman untuk kekal relevan menjelang pilihan raya.

“Ia adalah satu bentuk politik toksik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya terus memecah-belahkan perpaduan negara,” tegasnya.

Menurut beliau, pelantikan Johny Lim adalah manifestasi kematangan profesionalisme dan keterbukaan sistem pertahanan negara yang menilai seseorang berdasarkan pengalaman, kepakaran dan taat setia, bukannya bangsa atau keturunan

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menambah,  Johnny Lim bukan sahaja layak, malah mencerminkan semangat patriotisme sebenar.

“Rekod perkhidmatan Johnny Lim yang cemerlang membuktikan bahawa beliau telah lama meletakkan keselamatan negara melebihi segala-galanya dan beliau bukan sekadar layak, malah mewakili semangat warganegara Malaysia yang sejati,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sumbangan rakyat bukan Melayu dalam pelbagai sektor negara sejak merdeka tidak wajar diperkecilkan hanya kerana perbezaan kaum.

“Sejarah Malaysia sejak merdeka telah menyaksikan begitu ramai tokoh bukan Melayu yang telah mengharumkan nama negara.

“Sebagai contoh atlet yang menjulang pingat peringkat dunia, teknokrat yang membina dasar negara, hingga kepada menteri Kabinet yang mentadbir bersama kerajaan Malaysia dan mereka semua adalah rakyat Malaysia yang sama-sama mencurah keringat untuk kemajuan tanah air ini,” katanya.

Katanya, semangat perpaduan nasional dan integriti perkhidmatan awam perlu dipertahankan daripada ancaman politik perkauman yang sempit.

Beliau turut menyeru rakyat untuk menolak politik toksik dan bersama membina negara yang lebih harmoni.

“Kami menyeru agar rakyat Johor dan seluruh Malaysia terus menolak politik yang memecah-belahkan, dan bersama-sama membina sebuah negara yang inklusif, adil dan harmoni,” katanya.

BACA JUGA Nak saman saya kerana pertahankan keharmonian, silakan Zaharuddin