Nak saman saya kerana pertahankan keharmonian, silakan Zaharuddin
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong bersedia disaman oleh ketua Pas kawasan Subang Zaharuddin Muhammad yang juga menantu presiden Pas.
“Saya tidak akan berganjak dari melawan pemimpin PAS itu yang bersikap perkauman, rasis dan menghina perajurit kita.
“Kalau kerana mempertahankan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan martabat ATM maka saya mahu disaman oleh pemimpin PAS itu, saya bersedia!
“Saya tunggu surat saman daripada peguamnya,” kata Sim yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang.
Zaharudin di dalam satu hantaran Facebook menyatakan bahawa dia akan berbincang dengan peguam berkenaan peluang untuk menyaman Sim.
Zaharudin sebelum itu telah menulis satu hantaran di mana beliau memberikan andaian bahawa Malaysia mungkin akan mempunyai Perdana Menteri berketurunan Cina pada tahun 2058, yang merupakan anak kepada peserta Malaysia My Second Home.
Turut disertakan gambar laporan Leftenan Jeneral Johnny Lim iaitu anggota tentera berpangkat paling tinggi dalam kalangan masyarakat Cina yang pertama di Malaysia.
Sim menambah bahawa Zaharudin yang menghasut dan Pas sendiri telah mengakuinya.
“Beliau sendiri yang menghasut sentimen perkauman dengan memperalat gambar pelantikan Leftenen Jeneral Angkatan Tentera Malaysia berbangsa Cina. Malah, parti beliau sendiri turut mengakui ahlinya bertindak sedemikian dalam kenyataan media mereka.
“Saya hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia.”
Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan tulisan Zaharuddin tidak mewakili partinya.
BACA JUGA: Kenyataan perkauman menantu Hadi dikecam, tidak boleh terima hakikat kita berbilang bangsa