Jangan jadikan isu Johnny Lim sebagai modal politik murahan

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menasihatkan agar pemimpin Pas, Zaharuddin Muhammad tidak menjadikan kenaikan pangkat Datuk Johnny Lim Eng Seng ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai modal politik murahan dengan menjaja imaginasi negatif kepada rakyat.

Menurut Naib Pengerusi DAP Johor berkenaan, kenyataan menantu Presiden Pas itu memberi gambaran salah pada Islam dan memperlihatkan kejumudan.

“Bahkan, seakan-akan cubaan mengganggu gugat keharmonian kaum di negara kita.

“Tindakan Ustaz Zaharuddin juga seolah-olah memperkecilkan peranan kuasa Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua tertinggi dalam turus Angkatan Tentera Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bahasa Korea

Terdahulu, Johnny berasal dari Melaka yang merupakan Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.

Pemakaian pangkat disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur pada 23 Jun lalu.

Beliau yang mahir menguasai bahasa Korea mengikuti latihan Pegawai Kadet melalui Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, seterusnya ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Johnny juga merupakan graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, selain turut memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, dalam sejarah Islam, terdapat beberapa contoh bukan Muslim dilantik ke jawatan tinggi dalam pemerintahan termasuk ketenteraan.

Pada kurun ke-9 dan 10 era Abbasiyah misalnya, jelasnya, terdapat wazir atau penasihat kanan di istana Khalifah terdiri daripada bukan Muslim termasuk orang Kristian dan Yahudi.

“Terdapat juga konsep mamluk – pemerintahan yang diasaskan oleh golongan hamba tentera – yang akhirnya menjadi pemerintah berdaulat.

“Antaranya, berasal dari bangsa bukan Arab seperti Daylam, Berber dan bangsa-bangsa yang pelbagai dari wilayah Balkan.

“Mereka yang setia dan berkebolehan dinaikkan pangkat dan diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam pemerintahan,” katanya lagi.

BACA JUGA Kisah pesakit dari neraka, ramai menari di atas air mata doktor