Menantu Presiden Pas dan cerminan politik kebencian
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Kenyataan oleh Zaharudin Muhammad, menantu Presiden Pas dan bekas anggota Dewan Ulama parti itu, mengenai pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lem Eng Seng dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merupakan satu bentuk retorik perkauman keterlaluan, tidak berasas, dan sangat membahayakan keharmonian negara.
Beliau secara terbuka menyatakan kebimbangan bahawa pelantikan seorang Cina ke jawatan tertinggi dalam angkatan tentera merupakan permulaan kepada agenda untuk melantik seorang Cina sebagai Perdana Menteri di masa hadapan.
Kenyataan ini bukan sahaja bersifat dangkal dan tidak bertanggungjawab, malah berniat membina naratif perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan mengundang ancaman terhadap kestabilan politik dan perpaduan nasional.
Ia mencerminkan pemikiran politik kebencian yang menolak realiti negara ini sebagai sebuah masyarakat majmuk yang berasaskan Perlembagaan, kelayakan dan meritokrasi.
Malaysia negara majmuk
Sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu, Malaysia telah dibina atas asas kerjasama pelbagai kaum.
Semangat Perlembagaan Persekutuan menjamin hak semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama, untuk menyertai dan berkhidmat dalam institusi-institusi utama negara, termasuk ATM.

Seorang warganegara Malaysia yang layak dan terlatih, tanpa mengira latar belakang kaum, berhak menyumbang dan dilantik ke jawatan tertinggi dalam mana-mana cabang perkhidmatan negara.
Pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lem bukanlah satu keputusan yang dibuat dengan mudah atau secara politik.
Ia adalah hasil proses profesional yang melibatkan penilaian teliti berasaskan prestasi, kepakaran dan rekod perkhidmatan, bukan sentimen perkauman seperti yang cuba digambarkan oleh Zaharudin.
Hormati institusi tertinggi negara
Pelantikan ke jawatan tertinggi dalam ATM, termasuk Panglima Tentera Darat, sudah tentu mendapat perakuan Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MATM) – sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan.
MATM bertanggungjawab terhadap pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia, dan ia berfungsi di bawah kuasa am Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
Kenyataan Zaharudin, yang mempertikai pelantikan ini, secara langsung meremehkan fungsi MATM dan secara tidak langsung memperkecil kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
Ini merupakan satu penghinaan terhadap sistem Raja Berperlembagaan dan boleh dianggap sebagai melanggar semangat serta kedudukan Perkara 137 Perlembagaan Malaysia.
Dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan, tindakan sedemikian tidak wajar dibiarkan tanpa kecaman dan tindakan sewajarnya.
Menentang retorik perkauman
Kenyataan Zaharudin telah menerima kritikan keras daripada beberapa pemimpin dan ahli Parlimen, termasuk dari blok kerajaan.
YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, menyifatkan kenyataan itu sebagai satu bentuk “politik kebencian yang bertentangan dengan semangat Malaysia moden.”
Beliau menekankan bahawa rakyat Malaysia daripada semua kaum harus diberi peluang untuk menyumbang kepada negara berdasarkan kebolehan dan kelayakan, bukan dihukum kerana etnik mereka.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan juga mengecam kenyataan Zaharudin dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk menyemai kebencian kaum dan menggugat keharmonian negara.
Beliau menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menyiasat kenyataan itu di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bukan sekadar kecaman
Malaysia tidak boleh bertolak-ansur dengan sebarang bentuk hasutan kaum yang membahayakan keharmonian masyarakat.
Tindakan seperti Zaharudin bukan sahaja merosakkan perpaduan, tetapi juga mengancam kestabilan dan integriti institusi awam serta keselamatan negara.
Membenarkan kenyataan berbaur perkauman ini berlalu tanpa tindakan akan menjadi preseden berbahaya, yang memberi isyarat bahawa politik kebencian dibenarkan dalam wacana awam.
Pihak berkuasa termasuk PDRM, SKMM dan SUHAKAM wajar segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Pada masa yang sama, Majlis Raja-Raja wajar menyuarakan pendirian tegas menolak kenyataan rasis yang mempersoalkan fungsi perlembagaan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Malaysia Madani tolak politik perkauman
Dalam kerangka Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, nilai-nilai seperti hormat, kemanusiaan, kesederhanaan dan keadilan sosial diangkat sebagai asas pembinaan negara.
Pelantikan seseorang ke jawatan penting dalam negara, termasuk dalam ATM, harus diraikan sebagai kemenangan meritokrasi dan kematangan institusi, bukan dijadikan modal perkauman oleh mereka yang ketandusan visi dan idea politik yang membina.
Zaharudin Muhammad harus dipertanggungjawabkan atas kenyataan berbaur perkauman dan penghinaan terhadap institusi negara.
Malaysia bukan milik satu kaum, tetapi tanah air untuk semua yang cintakan keamanan, keharmonian dan keadilan.
Zaharudin tidak harus berselindung lagi bahawa kenyataannya disalah tanggap atau di ‘spin luar konteks’, gambar hiasan dan sebagai helah melambangkan kebodohan beliau dan rakyat Malaysia tidak lagi boleh diperbodohkan oleh pimpinan Pas.
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.
BACA JUGA Kisah pesakit dari neraka, ramai menari di atas air mata doktor