Pas tak teragak-agak ambil tindakan ahli cetus kontroversi kaum
Pas memandang serius kontroversi melibatkan seorang pemimpinnya yang membuat hantaran spekulatif tentang pelantikan Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.
Beliau berkata, sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat di dalam Pas selain tidak sesuai dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.
“Perlu ditegaskan bahawa catatan itu adalah pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan, malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan Pas.
“Pelantikan Johnny Lim sebagai Leftenan Jeneral ATM adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.
“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya. Tahniah daripada Pas buat Leftenan Johnny Lim,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin menegaskan, Pas akan sentiasa dan terus memberi peringatan agar ahli berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana ketegasan dalam soal adab, susila mahupun disiplin seperti mana yang tercerna dalam Perlembagaan Pas adalah tiada toleransi.
“Justeru Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.
“Sesungguhnya Pas amat serius dalam hal ini dan ia dizahirkan dengan jelas dan nyata apabila Muktamar Pas pada tahun 2024 telah meluluskan pindaan Perlembagaannya untuk membuka keahlian Pas kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan keturunan,” ujarnya.
Terdahulu Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, memuat naik hantaran spekulatif tentang senario masa depan negara, lengkap dengan gambar Leftenan Jeneral Johnny Lim, yang merupakan pegawai Cina pertama memegang jawatan itu.
Senario yang dibuat berunsur rasis dan perkauman sehingga dikecam banyak pihak.
Bagaimanapun dia mendakwa gambar tersebut hanya digunakan sebagai “hiasan” dan menganggap kenyataannya telah diambil di luar konteks.
BACA JUGA Jangan jadikan isu Johnny Lim sebagai modal politik murahan