Pengerusi IKIM Dr Muhammad meninggal dunia pagi ini
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty meninggal dunia pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh pegawai khasnya, Firhan Rosli dalam satu kenyataan hari ini yang memaklumkan pemergian pengerusi IKIM itu pada jam 11.27 pagi tadi.
“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, dimaklumkan bahawa Murabbi kita semua, Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, jam 11:27 pagi, di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang,” katanya.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
Beliau mengajak semua mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosa beliau, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.
Muhammad,76, merupakan tokoh yang dihormati dalam kalangan ilmuan Islam dan pernah menyumbang besar dalam pengukuhan wacana pemikiran Islam di negara ini.
BACA JUGA Syed Saddiq dipelawa kembali terajui MUDA