Syed Saddiq dipelawa kembali terajui MUDA

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dipelawa untuk kembali menerajui parti MUDA sebagai Presiden.

Tawaran Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA itu merupakan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat JKEP yang diadakan semalam.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ketetapaan tersebut selepas Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan sebelum ini.

Amira Aisya Abd Aziz

Menurut Amira, tawaran tersebut berasaskan dua prinsip utama; pertama, Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integritinya melalui proses perbicaraan yang telus dan adil di mahkamah.

“Kedua, beliau juga secara konsisten mempertahankan maruah serta nama baik MUDA sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Jelas Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa di Johor , beliau memangku jawatan Presiden MUDA yang disandang Syed Saddiq sepanjang proses mahkamah berlangsung.

“Saya juga perlu merekodkan keputusan parti mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amira Aisya berkata, Syed Saddiq dapat mengukuhkan dengan kembalinya dalam tampuk kepemimpinan parti terutama dalam usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, beliau berkata JKEP juga menghormati keperluan Syed Saddiq mempertimbangkan tawaran berkenaan dan bersetuju memberikan ruang secukupnya kepada beliau.

Tambahnya, MUDA akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Syed Saddiq, selain memohon rakyat terus mendoakan kemudahan dalam urusan MUDA membina negara

Semalam, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan beliau secara tidak jujur menyebabkannya memperoleh keuntungan secara salah dan kerugian kepada Armada Bersatu.

BACA JUGA Polis sahkan pelajar universiti di Cyberjaya mati dibunuh, tiada unsur rogol