Tujuh pengganas Zionis terbunuh, video lama seronok tembak rakyat Gaza tersebar

Tujuh pengganas Zionis terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang Palestin di selatan Semenanjung Gaza kelmarin.

The Times of Israel menyifatkan kematian mereka terbabit sebagai antara “insiden paling berdarah yang menimpa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sejak beberapa bulan lalu”.

Kesemua anggota dalam Batalion Kejuruteraan Tempur ke-605 yang mati selepas kenderaan berperisai yang dinaiki terkena alat letupan itu adalah seperti berikut:

Lt. Matan Shai Yashinovski, 21 tahun, dari Kfar Yona;

Staf Sarjan Ronel Ben-Moshe, 20 tahun, dari Rehovot;

Staf Sarjan Niv Radia, 20 tahun, dari Elyakhin;

Sarjan Ronen Shapiro, 19 tahun, dari Mazkeret Batya;

Sarjan Shahar Manoav, 21 tahun, dari Ashkelon;

Sarjan Maayan Baruch Pearlstein, 20 tahun, dari Eshhar; dan

Staf Sarjan Alon Davidov, 21 tahun, dari Kiryat Yam.

Atas dari kiri: Matan Shai Yashinovski, Ronel Ben-Moshe, Ronen Shapiro. Bawah dari kiri: Baruch Pearlstein, Niv Radia, Shahar Manoav, dan Alon Davidov.

Sementara itu, tersebar di media sosial rakaman video salah seorang askar Zionis terbabit, Ronel Ben Moshe semasa hayatnya yang seronok melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.

Menurut platform X, Quds News Network, pemuda Israel berkenaan bersama tentera penjajah lain dilihat bersorak gembira melepaskan tembakan bertalu-talu di Gaza semata-mata untuk berseronok.

Tertera kapsyen bertulisan Ibrani pada rakaman video kejam itu yang dipercayai daripada saudara askar penjajah terbabit dengan antara lain menyatakan si mati merupakan anak muda yang “cemerlang dan penyayang”.

“Dunia telah kehilangan cahaya yang hebat. Semoga Tuhan membalas darahmu, anak sepupu yang dikasihi,” menurut terjemahan kapsyen daripada warganegara Israel dalam klip video itu.

Susulan kematian tujuh anggota IDF terbabit, tentera Israel dilapor mengganas dengan menyembelih puluhan penduduk Gaza, lapor Al Jazeera.

Sekurang-kurangnya 78 rakyat Palestin di Gaza dibunuh tentera Israel termasuk 33 orang yang sedang mencari bantuan di lokasi agihan.

Dalam masa sama, puluhan peneroka Zionis melancarkan serangan maut ke atas sebuah perkampungan di Tebing Barat yang diduduki.

BACA JUGA ‘Spin’ luar konteks apanya? – Syahredzan tempelak menantu Hadi cuba berdalih