Amir Hadi sahkan sudah letak jawatan SUA Muda atas alasan peribadi

Amir Hadi hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Muda dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA yang berkuatkuasa sejak Mac 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau tidak memperincikan alasan melepaskan jawatan dalam parti itu namun memberitahu ia disebabkan faktor peribadi.

Beliau memaklumkan sepanjang tempoh peletakan jawatannya, proses transisi berlaku dan jawatan itu kini disandang Ainie Haziqah.

“Dengan perkembangan terbaru, selepas Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan-pertuduhan sebelum ini, saya yakin ia bakal menjadi faktor pemangkin dan permulaan baru buat parti mendepani cabaran kehadapan, bermula dengan PRN Sabah dan seterusnya PRU-16.

” Justeru sudah pasti, penyusunan semula struktur pimpinan diperlukan, dan jawatan termasuk SUA parti perlu dipikul segera.

“Saya ikut sama memanjatkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Selaku pengasas bersama MUDA walau tidak lagi bersama, Amir Hadi berkata beliau akan kekal menjadi pendukung dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada barisan pimpinan untuk mengemudi parti.

Buat masa ini katanya, beliau akan memberikan fokus penuh sebagai Pengarah Eksekutif MANDIRI, dan berharap kenyataan ini menjawab kekeliruan yang timbul.

Beliau turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang menjawat jawatan SUA Muda.

BACA JUGA Terbongkar 36 warga Bangladesh di Malaysia disyaki terbabit gerakan militan ekstrimis