Terbongkar 36 warga Bangladesh di Malaysia disyaki terbabit gerakan militan ekstrimis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan yang didalangi 36 warga Bangladesh di negara ini.

Kesemua saspek yang dikenal pasti terlibat secara langsung telah berjaya ditahan menerusi operasi besar-besaran sejak April lalu dalam tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam operasi tersebut, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah pun didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru.

15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran manakala 16 individu sedang disiasat lanjut terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan ini.

“Hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas, polis mendapati bahawa kumpulan ini membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Lebih mengejutkan, kumpulan pendatang asing ini telah mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan, dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Kejayaan in juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam,” katanya.

Dalam pada itu Saifuddin menglangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan, serta bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan.

BACA JUGA Mat Sabu rayu semua pihak perkukuh pertanian, jayakan agenda keterjaminan makanan negara