Anak muda Seberang Perai buat laporan polis terhadap menantu Hadi

Beberapa kumpulan anak muda dari Seberang Perai membuat laporan polis terhadap Ketua Pas kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad kerana memuat naik hantaran Facebook yang bersifat perkauman dan hasutan halus.

Laporan polis dibuat oleh sukarelawan Kolektif Jalan Teruih, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah, dan Anak Muda Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perda, dengan sokongan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia SPT.

Mereka menyifatkan hantaran menantu kepada Presiden Pas itu sebagai satu bentuk provokasi tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keharmonian dan menjejaskan nama baik institusi keselamatan negara.

“Dalam hantaran tersebut, Zaharuddin mencipta naratif kononnya pada tahun 2058, Perdana Menteri Malaysia ke-50 berasal daripada bangsa Cina, hasil pasangan warga asing melalui skim Malaysia My Second Home (MM2H).

“Walaupun beliau menyebut ‘gambar hiasan,’ beliau secara sinis meletakkan gambar Leftenan Jeneral berbangsa Cina yang baru dilantik, memberi bayangan bahawa kemajuan bukan Melayu dalam struktur ketenteraan adalah sesuatu yang patut dicurigai,” menurut satu kenyataan bersama mereka.

Kumpulan anak muda itu turut menegaskan bahawa satira bersifat perkauman tidak boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara, sebaliknya merupakan ancaman nyata terhadap perpaduan negara.

Tindakan ini katanya, adalah satu bentuk provokasi berselindung di sebalik satira politik, yang cuba mencetuskan ketegangan kaum secara licik dan tidak bertanggungjawab.

Mengangkat kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sebagai prinsip bersama, mereka menyatakan pendirian tegas bahawa sentimen kaum tidak boleh wujud dalam pasukan keselamatan.

“Kami ingin mengangkat dan menegaskan kata-kata Steven Sim, Menteri Sumber Manusia: ‘Di perbatasan, peluru tidak mengenal bangsa.’

“Kata-kata ini adalah kebenaran mutlak. Di medan tempur, tiada ruang untuk sentimen perkauman. Yang ada hanyalah kesetiaan, keberanian dan cinta kepada negara,” ujar mereka.

Tambah kenyataan itu, pasukan tentera harus kekal bebas daripada pengaruh politik dan dihormati sebagai benteng terakhir pertahanan negara.

“Tentera Malaysia tidak boleh dipolitikkan. Mereka bukan alat retorik mana-mana kelompok. Mereka adalah benteng akhir negara yang sepatutnya dihormati, dikasihi dan dibela, bukan dijadikan bahan sindiran atau simbol ketakutan palsu,” tegasnya lagi.

Kolektif Jalan Teruih merupakan sebuah kumpulan sukarelawan berasaskan komuniti anak muda di Seberang Perai Tengah.

BACA JUGA Sultan Selangor titah jangan ada yang jadi ‘hero’ sehingga nafi sumbangan orang lain