Sultan Selangor titah jangan ada yang jadi ‘hero’ sehingga nafi sumbangan orang lain
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan nasihat tegas agar umat Islam tidak bersikap angkuh dan merasakan diri terlalu hebat sehingga menafikan sumbangan pihak lain.
“Janganlah kita berlagak menjadi ‘hero’ atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain. Sikap angkuh ini hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan.
“Kesombongan bukan tanda kekuatan, tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa,” titah baginda dalam perutusan sempena Maal Hijrah hari ini.
Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah, caci-maki dan perpecahan yang semakin berleluasa dalam masyarakat, khususnya di ruang awam dan media sosial.
Beliau bertitah agar semua pihak menghentikan budaya saling menjatuhkan dan mencari salah.
“Budaya mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca sesama sendiri semakin menjadi kebiasaan. Ini bukanlah akhlak seorang Muslim. Rasulullah SAW mengajarkan kita agar menjaga lisan, kerana lidah yang tajam adalah lebih parah dari mata pedang.
“Marilah kita menyemai budaya saling menasihati dengan lembut dan berhemah, agar hati tidak terluka dan ukhuwah tetap terpelihara,” titah baginda.
Dalam menegur pula, baginda mengingatkan supaya teguran dilakukan dengan penuh hikmah dan kasih sayang, bukan dalam bentuk penghinaan atau cercaan kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki
Mengakhiri titah, Sultan Sharafuddin menyeru rakyat untuk menjadikan Maal Hijrah sebagai titik perubahan ke arah kebaikan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam hubungan sesama manusia, tanggungjawab sebagai warganegara dan sebagai umat Islam.
“Semoga ukhuwah Islamiyyah terus mekar, dan semoga negara kita sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi,” titah baginda.
BACA JUGA Akhirnya terbongkar, senarai syarikat lori & bas bertimbun saman, didedah Menteri Pengangkutan