Asyraf Wajdi arah pelajar MRSM Besut terlibat buli dibuang sekolah

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan agar kesemua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Besut, Terengganu yang terlibat dalam kes buli, dibuang dari maktab tersebut.

Beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk tidak sesekali berkompromi dalam hal ini, malah segala rayuan tidak perlu dilayan.

“Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal telah diarahkan dibuang daripada Maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan,” katanya di Facebook.

Asyraf berkata, sudah berulang kali dia menegaskan bahawa pembuli tiada tempat di mana-mana MRSM.

“Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk fizikal yang boleh mencederakan.

“Saya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk tidak sesekali berkompromi dalam hal ini. Semua pelajar yang terlibat hendaklah dibuang daripada Maktab. Tidak perlu melayani sebarang rayuan,” tegasnya lagi.

Terdahulu seorang pelajar Tingkatan 2 di negeri itu didakwa dibuli beberapa pelajar senior sehingga menyebabkan kecederaan.

Dalam laporan polis yang dibuat, pelajar itu telah diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar.

Kejadian menyebabkan mangsa sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.

Sementara itu, perintah reman terhadap kesemua pelajar yang terlibat buli itu akan diperolehi oleh polis di Mahkamah Majistret Besut hari ini.

BACA JUGA Sultan Selangor titah jangan ada yang jadi ‘hero’ sehingga nafi sumbangan orang lain