Epal, Oren, khidmat gunting rambut dan bisnes kecil dapat pengecualian SST mulai Julai
Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) selepas mengambil kira maklum balas rakyat serta pihak industri.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada beberapa barangan dan perkhidmatan asas bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Tiga pindaan utama akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2025, termasuk pengecualian cukai ke atas buah-buahan import terpilih, kenaikan ambang jualan tahunan untuk cukai perkhidmatan, serta penolakan cadangan peluasan SST kepada perkhidmatan kecantikan.
MOF memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas meneliti maklum balas rakyat dan berbincang bersama beberapa Ahli Parlimen kerajaan dalam sesi libat urus.
“Sebagai sebahagian daripada usaha memahami pandangan akar umbi, MOF telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan semalam.
“Kerajaan MADANI kekal bersedia untuk memastikan semakan semula SST ini bersifat progresif, serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin memaklumkan tiga pindaan utama kepada SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025,” maklum kenyataan itu.
Antara barang dan perkhidmatan yang dikecualikan SST walaupun diimport:
1. Buah-buahan import terpilih (tiada Cukai Jualan):
Epal, Oren, Limau mandarin dan Kurma
2. Barangan keperluan harian (tiada Cukai Jualan):
Beras
Ayam
Daging lembu
Sayur-sayuran
Telur
Ikan tempatan (selar, tongkol, cencaru, sardin), sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan.
3. Perkhidmatan kecantikan (tiada Cukai Perkhidmatan):
Rawatan kuku (manicure & pedicure)
Rawatan wajah (facial)
Khidmat gunting rambut dan dandanan
Langkah bantu perniagaan kecil: Ambang SST dinaikkan
Bagi mengurangkan beban cukai ke atas perusahaan kecil, kerajaan turut menaikkan ambang jualan tahunan untuk dikenakan SST daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi kategori berikut:
1. Perkhidmatan Pajakan atau Sewaan
Kadar Cukai: 8%
Ambang Sebelum Ini: RM500,000 setahun
Ambang Baharu: RM1 juta setahun
2. Perkhidmatan Kewangan
Kadar Cukai: 8% atas fi atau komisen
Ambang Sebelum Ini: RM500,000 setahun
Ambang Baharu: RM1 juta setahun
Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan, sekaligus memberi kelegaan kepada perniagaan kecil dan PMKS.
Orang awam dan peniaga boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan melalui: Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia: 03-8323 7406 / 7407 / 7409 / 7412 / 7414 / 7415 / 7416 / 7417 atau Hotline: 1-300-888-500
BACA JUGA Terbongkar 36 warga Bangladesh di Malaysia disyaki terbabit gerakan militan ekstrimis