‘Jangan tunggang agama untuk kepentingan sendiri’, Agong tegur siapa?
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli-ahli politik tidak menunggang agama untuk kepentingan parti politik atau yang bertujuan memecah-belahkan masyarakat.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.
“Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, Nabi Muhammad SAW memberikan contoh dan cara pemerintahan Islam sebenar, hingga berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbeza suku kaum dan agama.
“Peristiwa Hijrah menyaksikan bagaimana perpaduan berjaya dibentuk melalui satu perjanjian bertulis iaitu Piagam Madinah.
“Di negara kita juga perpaduan rakyat yang majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam supaya memahami tanggungjawab untuk membina tamadun yang berteraskan nilai-nilai Islam, bukannya sekadar pembangunan fizikal sahaja,” titah baginda lagi.
BACA JUGA Epal, Oren, khidmat gunting rambut dan bisnes kecil dapat pengecualian SST mulai Julai