Terdedah juga wajah sebenar Pas
Tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang menyalahkan DAP kononnya membangkitkan isu perkauman dalam hantaran berbaur rasis yang dimulakan Zaharuddin Muhammad, telah mendedahkan wajah sebenar Pas.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, apabila Dr Zuhdi menganggap ‘dosa’ menantu Abdul Hadi Awang itu sebagai kecil, ia mendedahkan sikap Pas yang tidak menghargai jasa dan pengorbanan bukan Melayu dalam negara ini.
Beliau menegaskan, isu utama kontroversi ini adalah tindakan seorang pemimpan parti Islam itu membawa polemik kaum dalam penghormatan yang diberikan kepada seorang Leftenan Jeneral ATM berbangsa Cina.
Dalam mempertahankan Zaharuddin, Dr Zuhdi mendakwa bahawa DAP telah ‘mencipta kontroversi’ dan ‘memainkan sensitif’ dalam isu ini.
“Ini suatu dakwaan yang langsung tidak masuk akal, dan suatu percubaan menutup kesalahan pemimpin Pas itu sendiri.
“Dalam semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP termasuk saya sendiri, kami mengecam Ustaz Zaharuddin yang telah membangkitkan polemik kaum dalam kenaikan pangkat Datuk Johnny.
“Kenyataan-kenyataan kami adalah untuk mempertahankan ATM dan juga merit seorang anak Malaysia yang diberi penghormatan dalam ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syahredzan mengingatkan Pas bahawa orang bukan Melayu juga telah menumpahkan darah, keringat dan air mata untuk tanah air, bersama-sama dengan orang Melayu.
Malah kedudukan dan hak orang bukan Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, dan Pas tidak berhak mempertikaikan perkara ini.
BACA JUGA Anak muda Seberang Perai buat laporan polis terhadap menantu Hadi