Doktor sanggup periksa mata, jantung Syed Saddiq secara percuma demi Bella

Umum mengetahui kisah BASS iaitu keakraban Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pelakon Bella Astillah.

Keakraban mereka pernah ditegur oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga.

Kini seorang doktor menawarkan diri untuk memeriksa mata dan jantung Syed Saddiq secara percuma untuk menentukan sama ada Bella tersemat di hati Syed Saddiq.

Doc Dr Md Azhari Md Zhahir menulis surat terbuka di laman Facebook kepada Syed Saddiq untuk tujuan tersebut.

Sekiranya Syed Saddiq berijab kabul dengan Bella, Azhari berkata bahawa dia sanggup bertanding melawan Saddiq di dalam pilihan raya umum.

Berikut adalah sebahagian daripada surat terbuka doktor tersebut:

“Biar saya sorot retina mata YB dengan fundoscopy, mencari apakah silau terlalu kuat hingga pandangan tertutup oleh sorotan flash media dan politik, sedang di hadapan, berdiri seorang Bella yang hanya mahu YB genggam tangannya sampai ke Jannah.

“Jika dada YB masih berdebar tak menentu dan pasti, izinkan saya rentangkan sedikit wayar, rakam degupnya melalui ECG, lihat sendiri adakah ritma cinta ini masih normal sinus, atau sudah jatuh pada fibrilasi rindu yang tak berbalas.

“Dan jika YB rasa tulang rusuk kiri sudah lama terisi tapi masih belum pasti, biar saya patahkan perlahan, dan ganti dengan yang sungguh-sungguh layak memayungi hati, supaya tak lagi gusar pada takdir yang menanti.

“Kalau hati YB masih juga keras membeku, izinkan saya, dengan setulus doa seorang doktor, melakukan exploratory laparotomy, menyelak satu-satu selubung hati YB, mencari nama Bella yang pasti tertulis di situ sejak mula lagi.

“Dan usah bimbang YB, semuanya percuma.
Kerana cinta kalian lebih mahal dari segala bil rawatan yang pernah saya tulis.

“Tetapi YB Saddiq, dengar juga catatan saya ini:
jika akhirnya YB memilih untuk mengecewakan Bella, membiarkan dia berdiri terlalu lama menanti akad yang tak kunjung tiba,
maka dengan rendah hati tapi tekad membara,
saya sendiri akan bertanding di Parlimen Muar.

“Bukan sekadar mahu menguburkan karier politik YB, tetapi agar saya sendiri dapat membela nasib Bella dengan cara paling gentleman seorang rakyat biasa boleh lakukan.

“Pasti, akan saya ajak seluruh rakyat Sabah, pindah mengundi di Muar, semata-mata untuk jatuhkan YB.

“YB Saddiq, pulanglah kepada rasa yang paling jujur.

“Ajaklah Bella berdiri di sebelah, bukan sekadar dalam gambar,tetapi pada satu akad yang menggema, hingga kami rakyat yang hanya diam di barisan belakang bisa menadah tangan bersama mendoakan bahagia.

BACA JUGA: Nasib Syed Saddiq ditentukan hari ini, apa kata Bella?