Gencatan senjata antara Hamas-Israel?

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyuarakan keyakinan pada hari Jumaat mengenai kemungkinan gencatan senjata baharu di Gaza, dengan menyatakan bahawa satu perjanjian melibatkan Israel dan Hamas mungkin dimeterai seawal minggu hadapan.

Apabila ditanya oleh wartawan mengenai sejauh mana proses ke arah gencatan senjata di Gaza, Trump berkata, “Kami percaya dalam tempoh seminggu akan datang, kita akan dapat mencapai gencatan senjata.”

AS telah menjadi perantara kepada gencatan senjata dalam konflik yang dahsyat itu pada penghujung pentadbiran bekas presiden Joe Biden, dengan sokongan daripada pasukan Trump yang bakal mengambil alih.

Israel mengisytiharkan gencatan senjata itu tamat pada bulan Mac, dan melancarkan serangan baharu yang dahsyat ke atas Hamas, yang telah menyerang Israel pada 7 Oktober 2023.

Israel turut menghentikan sepenuhnya kemasukan makanan dan bekalan lain ke Gaza selama lebih dua bulan, sehingga mencetuskan amaran mengenai kemungkinan kebuluran.

Sejak itu, Israel membenarkan semula kemasukan makanan melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza yang kontroversial, yang melibatkan kontraktor keselamatan AS bersama tentera Israel di kawasan sempadan.

Saksi dan pegawai di Gaza melaporkan beberapa insiden di mana rakyat Palestin terbunuh ketika sedang menunggu bantuan.

Pada Khamis, AS mengumumkan ia akan mula membiayai inisiatif itu dengan kelulusan dana sebanyak AS$30 juta.

“Kita membekalkan, seperti yang anda tahu, sejumlah besar wang dan makanan ke kawasan itu,” kata Trump pada hari Jumaat.

“Kita terlibat kerana ramai yang sedang mati. Lihatlah orang ramai yang tidak mempunyai makanan atau apa-apa pun,” katanya lagi.

Akhbar harian Israel berhaluan kiri, Haaretz, memetik beberapa askar yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa komander telah mengarahkan tentera menembak ke arah orang ramai berhampiran pusat pengagihan bantuan untuk menyuraikan mereka walaupun mereka tidak mengancam keselamatan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menafikan dakwaan tersebut.

BACA JUGA: Amir Hadi sahkan sudah letak jawatan SUA Muda atas alasan peribadi