Telegram gagal penuhi permintaan MCMC, hapuskan kandungan berbahaya
Sebahagian besar permintaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menghapuskan kandungan berbahaya di Telegram gagal gagal dipatuhi oleh platform tersebut, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, antara semua platform media sosial, Telegram mencatatkan kadar pematuhan paling rendah – kurang daripada 50% – terhadap permintaan MCMC untuk memadam kandungan.
“Saya telah arahkan MCMC untuk memanggil pihak Telegram bagi satu pertemuan minggu depan untuk membincangkan isu ini,” katanya kepada wartawan selepas satu acara di Pantai Dalam pagi ini.
Pada 19 Jun, MCMC telah memfailkan saman sivil terhadap Telegram dan dua salurannya kerana didakwa menyebarkan kandungan berbahaya yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi awam dan menggugat ketenteraman awam.
MCMC berkata dua saluran tersebut – “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” – didapati menerbitkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Tindakan ini merupakan yang pertama diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram memiliki lesen penyedia perkhidmatan aplikasi (kelas),” katanya.
“Tindakan ini diambil susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan, walaupun pelbagai rundingan dan usaha kerjasama telah dijalankan oleh MCMC.”
Fahmi berkata setakat 24 Jun, MCMC telah menandakan sebanyak 1,188,528 kandungan berbahaya di pelbagai platform media sosial. Namun, hanya 173,642 permintaan yang dipatuhi.
“Daripada jumlah itu, 51% kandungan yang dipadam adalah iklan perjudian dalam talian, manakala 24% melibatkan penipuan dalam talian.
“Kita akan ambil tindakan tegas bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa MCMC hanya boleh membuat permintaan, namun platform-platform itu sendiri yang perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kandungan tersebut tidak boleh diakses di negara ini.
BACA JUGA: Pembunuhan Maniishapriet: Dua digantung oleh universiti