KKM secara berterusan sedang tangani isu kekurangan jururawat

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil langkah menangani isu kekurangan jururawat termasuk meningkatkan jumlah pelatih.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal.

“Isu kekurangan jururawat satu realiti yang KKM secara berterusan sedang tanganinya.

“Kita pun mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan.

“KKM mengalami kesukaran dapatkan jururawat kerana perjawatan ada, namun tiada yang mahu. Berikan KKM sedikit masa menangani isu kekurangan jururawat ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, hari ini.

Dilaporkan, seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara 2020 hingga 2024

Jumlah itu merangkumi 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak meletak jawatan, antara 2020 hingga tahun lalu.

Selain seramai 1,856 pegawai perubatan tetap, diikuti 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan, turut meletak jawatan dalam tempoh sama.

BACA JUGA ‘Negeri ni orang dah ambil’, ini sebabnya ceramah Sanusi kembali tular