Peliknya pangkat ‘Jeneral’ dalam Jabatan Amal, patut hanya ATM layak guna
Kewujudan mereka yang berpangkat pegawai termasuk jeneral dalam Jabatan Amal Malaysia (JAM) di bawah Pas dengan lebih ramai daripada Lain-Lain Pangkat (LLP) dipersoal seorang penganalisis.
Omar Mat Noor menerusi hantaran di Facebook menyifatkan keadaan itu sebagai pelik lantaran bercanggah dengan amalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Untuk rekod, JAM yang digambarkan sebagai “askar sukarela Pas” oleh penyokong parti pembangkang itu, antara lain bertugas mengawal keselamatan semasa ceramah, himpunan, muktamar, dan pilihan raya.
“Untuk pengetahuan, susunan pangkat dalam ATM adalah menurut kekuatan atau jumlah LLP dalam pasukan.
“Ia bermula dengan sebuah platun yang diketuai oleh Leftenan Muda atau Leftenan, dengan kekuatan anggota seramai 20 hingga 30 orang.
“Seterusnya, diikuti oleh sebuah kompeni yang mempunyai kekuatan antara 100 hingga 120 anggota, dan diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Kapten atau Mejar.
“Selepas kompeni, barulah ke peringkat rejimen yang terdiri daripada 600 hingga 800 anggota, dan diketuai oleh Pegawai Memerintah berpangkat Leftenan Kolonel,” katanya.

Beliau menjelaskan peringkat seterusnya ialah briged, dengan kekuatan antara 3,000 hingga 3,500 anggota, dan diketuai oleh Panglima Briged berpangkat Brigedier Jeneral.
Akhir sekali, tambah Omar, peringkat divisyen yang melibatkan seramai 15,000 anggota, dan diketuai oleh Panglima Divisyen yang berpangkat Mejar Jeneral.
Sehubungan itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meneliti semula penggunaan pangkat dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) atau parti politik.
Menurutnya, tindakan itu penting agar pemakaian pangkat tersebut tidak menjadi bahan jenaka.
“Pangkat-pangkat berkenaan seharusnya dihormati dan hanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang layak menggunakannya.
“Sejujurnya, apa yang berlaku pada masa ini sudah menjadi bahan jenaka apabila individu yang memakai pangkat tersebut sebenarnya tidak layak,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA KKM secara berterusan sedang tangani isu kekurangan jururawat