Pusara Nurly mewangi kasturi terus dibanjiri, ada sebab keluarga hentikan sementara ziarah
Pusara seorang hafizah, Nurly Sahirah Azman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang di Besut, Terengganu terus dibanjiri pengunjung sehingga ziarah umum difahamkan terpaksa dihentikan bermula Julai ini.
Menurut salah seorang pengunjung, Nurliyana Hazwani bau haruman kasturi itu “datang sayup-sayup masuk ke hidung”.
“Bau seperti bunga tapi lembut saja harumannya. Kejap datang kejap hilang. Sejuk berangin walau cuaca panas.
“Dan paling menakjubkan ramai orang berhimpit tapi langsung tiada bau peluh. Hanya bau ‘itu’ sahaja yang ada,” kata Nurliyana.
Hal sama turut dikongsikan pengguna TikTok Shucre Ebrahim berkenaan harumnya pusara pencinta al-Quran yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (Imtiaz) itu.
“Masya-Allah. Masih ada bau wangi (walaupun tak kuat). Lebih wangi dari kasturi, baunya pekat,” katanya.

Bagaimanapun, pihak keluarga Allayarham Nurly Sahirah tidak menerima tetamu bermula 2 hingga 5 Julai ini.
“Rumah keluarganya juga ditutup kepada umum. Harap dapat kerjasama sepenuhnya. Terima kasih,” menurut hebahan di media sosial.
Sementara itu, abang kepada Nurly, Najmuddin Azman memberitahu keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada ayah dan ibunya untuk berehat seketika.
“Dari awal kematian sehingga sekarang tidak dapat rehat sepenuhnya. Insya-Allah ada rezeki boleh datang ziarah,” katanya.
Petang semalam, ahli keluarga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman yang maut dalam nahas di Gerik, 9 Jun lalu itu, memasang tali penghadang bagi mengelak sebarang perlakuan yang mengundang khurafat.
Terdahulu, tular dakwaan bahawa terdapat pengunjung mengambil tanah kubur dipercayai daripada pusara arwah Nurly untuk dibawa pulang.
Bahkan, ada yang mengatakan tanah kubur itu kemudiannya disapu pada muka anak.
“Ramai yang ambil tanah kubur dan masukkan ke dalam poket dan juga plastik,” kata Ahmad Nazrul pula.
BACA JUGA Terdedah juga wajah sebenar Pas