Bekas Adun cabar Wan Fayhsal tunjuk hospital mana habis ubat, sekolah nak roboh

Dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kononnya terdapat hospital kehabisan ubat dan sekolah daif menanti roboh mencetuskan persoalan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu untuk menunjukkan lokasi hospital dan sekolah terbabit.

Walau bagaimanapun, menerusi tangkap layar WhatsApp dikongsikan oleh bekas Exco Perak itu, hanya tanda semak biru (blue tick) yang kelihatan.

Terdahulu, Wan Fayhsal mengecam Perdana Menteri yang meminta penjawat awam supaya mempertahankan pembangunan Kota MADANI.

Wakil rakyat pembangkang itu berkata, sudah tiba masanya rakyat dan penjawat awam membuka mata terhadap “helah licik rejim Madani yang semakin terpisah dari realiti rakyat”.

Malah, Wan Fayhsal hari ini menganggap seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai dangkal serta “melambangkan tahap kebongkakan dan penyelewengan keutamaan yang melampau”.

“Di saat hospital kehabisan ubat, sekolah daif menanti roboh, dan harga barang makin menggila, Anwar Ibrahim memilih untuk menabur berbilion ringgit ke atas sebuah monumen ego yang langsung tidak memberi manfaat nyata kepada rakyat marhaen.

“Ini bukan pembangunan, ini bukan kemajuan – ini adalah pembaziran berselindung di sebalik retorik Madani yang sudah hilang makna,” kecam Wan Fayhsal lagi.

BACA JUGA Melampau betul seawal Subuh dah ketuk pintu, keluarga Nurly rayu fahami adab ziarah