Melampau betul seawal Subuh dah ketuk pintu, keluarga Nurly rayu fahami adab ziarah

Mengejutkan apabila abang kepada hafizah, Allahyarham Nurly Sahirah Azman menceritakan terdapat tetamu yang berkunjung ke rumah keluarga mereka pada waktu yang tidak sesuai.

Najmuddin Azman berkata, ada pengunjung yang sudah mengetuk pintu kediaman keluarganya seawal Subuh selain tergamak datang sekitar jam 10 malam.

Sehubungan itu, beliau memberitahu waktu ziarah di rumah keluarga Nurly kini ditetapkan antara jam 9 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Waktu malam mereka tidak menerima tetamu. Harap faham adab ziarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, orang ramai termasuk rombongan bas dalam suasana penuh hiba dan kasih yang mendalam berpusu-pusu mengunjungi pusara Nurly dan kediaman keluarga bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (Imtiaz) itu.

Namun, pihak keluarga Nurly terpaksa membuat keputusan untuk tidak menerima tetamu bermula 2 hingga 5 Julai ini.

Langkah itu bagi memberi peluang kepada ayah dan ibu penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenaan untuk berehat seketika.

“Dari awal kematian sehingga sekarang tidak dapat rehat sepenuhnya. Insya-Allah ada rezeki boleh datang ziarah,” kata Najmuddin.

Kelmarin, ahli keluarga Nurly juga memasang tali penghadang bagi mengelak sebarang perlakuan yang mengundang khurafat.

BACA JUGA Pusara Nurly mewangi kasturi terus dibanjiri, ada sebab keluarga hentikan sementara ziarah