Kedudukan dua ADUN Sabah terpalit kes rasuah: Apa kata Hajiji?
Kerajaan negeri Sabah menyerahkan sepenuhnya isu membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan rasuah kepada proses undang-undang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan berkaitan dua ADUN terbabit.
“Kita menghormati undang-undang, dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya.
“Kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, didakwa atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, hari ini.
Mengulas status kedua-dua ADUN berkenaan dalam kerajaan semasa, Hajiji berkata, beliau akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya selepas menerima semua maklumat dan laporan yang berkaitan.
Jelasnya, kerajaan negeri komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
BACA JUGA Bekas Adun cabar Wan Fayhsal tunjuk hospital mana habis ubat, sekolah nak roboh