Letupan paip gas Putra Heights: Sah tiada sabotaj, perbuatan khianat
Selepas hampir tiga bulan berlakunya letupan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, pihak kerajaan mengesahkan tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca insiden itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan menyeluruh dilakukan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ((JKKP), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Petronas serta pelbagai agensi, dengan mengambil kira semua sudut kemungkinan.
“Siasatan merangkumi dua aspek utama iaitu perbuatan khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan unsur kecuaian di bawah Seksyen 285 dan 286 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti menunjukkan elemen terbabit menjadi punca letupan.
“Tumpuan turut diberi terhadap kerja pembinaan lot kedai, penggantian paip pembetung, serta kemungkinan letupan bom atau pembakaran bahan lain.
“Bagaimanapun, semua itu dikenal pasti tidak menjadi penyebab kejadian,” jelasnya.
Dapatan itu didedahkan pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, JKKP menerusi kenyataannya memaklumkan hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Namun begitu, jelasnya, bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah yang dikenal pasti lembut dan lembap.
“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar.
“Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali, yang menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip,” katanya.
Menurut JKKP, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.
“Lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah, tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik,” menurut JKKP lagi.
Letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada pagi 1 April lalu yang menggemparkan negara itu mengakibatkan 219 unit rumah serta 159 kereta dan motosikal rosak.
Impak letupan itu juga dilaporkan mencederakan sehingga 150 individu termasuk melecur tahap dua hingga empat, masalah pernafasan dan trauma akibat runtuhan.
BACA JUGA Ulama Pas Terengganu meninggal dunia