Menteri Agama tegur perbuatan ambil tanah kubur untuk ‘berkat’
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan tindakan segelintir individu yang mengambil tanah dari kubur Almarhumah Nurly Shahirah Azman sebagai perbuatan yang mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.
“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.
“Islam mengajar umatnya menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan. Tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan mahupun populariti.
“Kita digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan, dan mendoakan kesejahteraan roh si mati, bukan untuk tujuan-tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan laporan media mengenai perbuatan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah kubur untuk tujuan kononnya mendapat keberkatan.
Pada masa sama, Na’im turut memuji pendekatan keluarga Allahyarhamah dan peranan pihak berkuasa agama dalam menangani isu ini.
“Saya juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas namun berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan.
“Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini,” katanya.
BACA JUGA Saya elak hubungi mana-mana hakim kanan, kecuali Ketua Hakim Negara untuk hal rasmi