PM tegur mahasiswa buat dakwaan tak betul tentang tarif elektrik, SST
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir mahasiswa yang mendakwa bakal berlaku kenaikan kadar elektrik akibat pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Anwar berkata, beliau tidak menolak sebarang kritikan, namun meminta semua pihak terutama anak muda supaya menyuarakan pendapat dengan berasaskan kebenaran.
Beliau bertanya adakah benar mahasiswa terkesan dalam isu pelarasan elektrik kerana universiti awam tidak dikenakan caj tersebut.
“Katanya kadar elektrik naik. Saya tak faham, betul ke dia (mahasiswa) terkesan, sedangkan universiti awam dikecualikan.
“Kalau benar universiti mengenakan caj elektrik kepada mahasiswa, kita kena betulkan,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Anwar mengingatkan golongan muda agar tidak menjadikan kebebasan bersuara sebagai medan menyebar fitnah atau maki hamun.
“Kalau kita kata kita ini pejuang mahasiswa dan ‘conscience of the majority’, maka suara kita mestilah mewakili nurani rakyat.
“Tetapi kadar elektrik hanya naik bagi kelompok pengguna teratas iaitu 10 hingga 15 peratus tertinggi. Adakah mahasiswa benar-benar terkesan?” soal beliau.
BACA JUGA Saya elak hubungi mana-mana hakim kanan, kecuali Ketua Hakim Negara untuk hal rasmi