1,091 penuntut IPT positif HIV, rupanya majoriti penghidap dari usia ini
Sepanjang tempoh 2020 hingga 2024, seramai 1,091 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan menghidap HIV, dengan 222 kes baharu direkodkan tahun lalu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, lebih membimbangkan, majoriti kes membabitkan remaja usia 18 dan 19 tahun.
Lukanisman berkata, trend tersebut sekali gus menunjukkan pendedahan awal terhadap aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Jelasnya, peningkatan kes dalam kalangan pelajar IPT adalah petanda jelas bahawa intervensi lebih agresif perlu dilaksanakan.
Ia termasuk mempertimbangkan strategi pengurangan kemudaratan (‘harm reduction’) yang disesuaikan untuk golongan belia.
“Antara langkah awal yang diperkenalkan ialah penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang merupakan alat pencegahan HIV dan kajian menunjukkan bahawa PrEP boleh mengurangkan risiko jangkitan apabila diambil secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Berhubung ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur, Lukanisman berkata beliau mengakui KKM berdepan cabaran besar memandangkan kementerian tidak mempunyai satu perundangan khusus.
“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan.
“Ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan,” kata Lukanisman lagi.
BACA JUGA Prestasi ekonomi negara semakin baik, kempen ‘Turun Anwar’ tindakan terdesak