Individu sebar maklumat palsu tentang SST akui silap selepas pelaksanaan bermula

Seorang pengguna Facebook tampil memohon maaf secara terbuka selepas dakwaannya berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terbukti tidak tepat apabila dasar itu mula dilaksanakan hari ini.

Pengguna Facebook itu sebelum ini mendakwa bahawa caj SST sebanyak RM80 akan dikenakan bagi setiap pengeluaran RM1,000 di ATM.

“Padan muka. Lepas ni kalau keluar duit RM1,000, RM80 SST. Maaf saya tak nak ulas. Kita tunggu dan lihat je,” tulisnya.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman netizen yang menyifatkannya sebagai menyebarkan maklumat palsu mengenai dasar percukaian kerajaan.

Tidak lama selepas itu, dia menarik balik kenyataan tersebut dan memuat naik satu hantaran permohonan maaf.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf pada semua atas kekhilafan dan kebodohan saya kerana tidak mengkaji terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan. Terima kasih pada semua yang menegur,” tulisnya.

Untuk rekod, SST tidak dikenakan ke atas pengeluaran wang seperti yang didakwa. Sebaliknya, peluasan skop SST hanya melibatkan perkhidmatan tertentu yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

BACA JUGA Ini penjelasan Menteri Kewangan II kenapa SST lebih sesuai berbanding GST