Ini penjelasan Menteri Kewangan II kenapa SST lebih sesuai berbanding GST
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diakui mungkin lebih baik untuk sektor perniagaan, tetapi sebenarnya tidak untuk rakyat.
Ini kerana pelaksanaan GST adalah lebih luas, dan impaknya terus kepada rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GST yang dikenakan juga tidak ditanggung oleh perniagaan kerana mereka boleh menuntutnya kemudian.
Melalui Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula, beliau berkata, kerajaan boleh memilih sektor mana yang perlu dikenakan cukai, berbanding GST yang mempunyai mekanisme yang lebih kompleks jika kerajaan ingin lakukan yang serupa.
“Dengan SST, saya boleh pilih. Ya saya ada membuat golongan wanita marah kerana pada awalnya kita kata sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan pun kena.
“…dan saya pun tak tunggu lama untuk buatkan mereka gembira kembali (dengan pengecualian). Jika saya gunakan GST, mekanismenya lebih kompleks.
“Keduanya, apabila kita mansuhkan GST pada 2018, sudah hampir tujuh tahun. Kebanyakan syarikat tidak bersedia untuk GST. Jadi jika kita cuba laksanakan GST kembali, ia mungkin mengambil masa dua tahun untuk mengemas kini sistem untuk hadapi GST.
“Negara ini tidak boleh lalui tempoh masa dua tahun. Kita ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membolehkan ia (GST) terlaksana dengan baik. Jadi ada isu kelewatan dengan GST,” katanya memetik Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed di majlis Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025 anjuran bersama Bursa Malaysia dan Kumpulan Maybank, yang berlangsung di ibu negara selama tiga hari, bermula Selasa.
Isu pelaksanaan semula GST terus menjadi polemik, apabila sesetengah pihak mendakwa ia lebih telus dan menguntungkan rakyat serta perniagaan berbanding peluasan SST.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan semula GST selagi kadar gaji minimum rakyat belum mencecah RM4,000 sebulan.
“Sehingga pendapatan meningkat, ia bukan sesuatu yang tepat untuk kerajaan mengenakan cukai yang akan membebankan rakyat. Biarkan pendapatan meningkat dahulu, kemudian, mungkin kita boleh kaji semula GST,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa kerajaan kini memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pendekatan Ekonomi MADANI.
BACA JUGA Tak betul dakwaan nak kahwin kena tanggung cukai SST 8 peratus